Bung Moktar ajak rakyat sama-sama menghayati makna Hari Malaysia

Bung Moktar ajak rakyat sama-sama menghayati makna Hari Malaysia

Kota Kinabalu: Rakyat Malaysia diajak untuk menghayati secara mendalam makna Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia adalah hari untuk semua rakyat membulatkan tekad, memperkukuh azam dan membugar semangat perpaduan.

Katanya, semangat itu perlu ditanam dalam jiwa rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai asas untuk bersatu sebagai sebuah bangsa yang berjaya dan dihormati.

“Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan pendekatan Keluarga Malaysia bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2021, berkata tarikh 16 September setiap tahun adalah untuk mengingatkan rakyat negara ini bahawa pembentukan Malaysia tidak datang bergolek dalam sekelip mata.

Sebaliknya, beliau berkata ia adalah hasil perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu yang mahu melihat lahirnya sebuah negara Malaysia yang merdeka dan bersatu-padu.

“Semenjak detik pembentukan Malaysia, kita telah berjaya menempuh liku-liku cabaran sehingga menjadi sebuah negara yang bebas, berdaulat dan berkemajuan pada hari ini.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air untuk terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemajuan yang kita kecapi selama ini,” katanya.

Katanya, memandangkan sambutan kali ini dibuat dalam situasi pandemik Covid-19, semangat sambutan juga seharusnya ditumpu ke arah sama-sama memerangi penularan virus berkenaan.

“Beberapa kawasan di negara kita termasuk di Sabah mencatatkan peningkatan kes-kes baharu COVID-19. Kes-kes ini menunjukkan bahawa perjuangan kita menentang COVID-19 masih belum berakhir.

“Justeru, kita semua mestilah sentiasa berwaspada menghadapi ancaman wabak ini dengan sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Katanya, walaupun sambutan pada tahun ini dibuat sederhana kerana susulan wabak Covid-19, beliau yakin rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak memiliki semangat cintakan negara yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|