Peka keadaan persekitaran, elak jadi mangsa tanah runtuh

Peka keadaan persekitaran, elak jadi mangsa tanah runtuh

Kota Kinabalu: Penduduk berhampiran kawasan berbukit dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan persekitaran bagi mengelak menjadi mangsa kejadian tanah runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata, perkara itu perlu diambil perhatian terutamanya ketika cuaca hujan lebat dan ribut melanda.

Katanya, keadaan cuaca buruk mempunyai kemungkinan tinggi untuk berlakunya tanah runtuh dan banjir.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berkecerunan tinggi atau ada kemungkinan berlaku runtuhan tanah perlu sentiasa peka dengan memerhatikan kawasan sekitar terutama ketika cuaca buruk.

“Pastika tiada sebarang rekahan tanah dan aliran air dari celah tanah atau aliran sungai dari bawah tanah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian tanah runtuh yang berlaku di beberapa lokasi semalam sehingga meragut tiga nyawa dan merosakkan harta benda.

Menurutnya, begitu juga dengan keadaan struktur rumah atau bangunan yang biasa berlaku seperti kesan pintu tidak dapat dibuka atau berlaku rekahan dinding dan lantai.

Katanya, ia juga boleh dikenalpasti sebagai petanda dengan kejadian pokok tumbang di kawasan curam.

“Ini antara petanda kemungkinan akan berlaku pergerakan tanah yang mungkin boleh berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Sehubungan itu, Md Ali berkata, sekiranya orang awam menyedari wujudnya tanda-tanda berkenaan maka mereka perlu memaklumkan segera kepada pihak berkuasa tempatan dan berpindah ke tempat yang selamat.

Katanya, sekiranya rekahan semakin besar ia bermaksud akan ada pergerakan tanah pada bila-bila masa.

“Kita perlu membuat persediaan awal, maklumkan kepada pihak berkuasa dan pindah ke tempat selamat.

“Kita bimbang sekiranya hujan lebat berterusan akan menyebabkan berlaku tanah runtuh,” katanya.

Sementara itu, Md Ali memberitahu sepanjang tempoh lima jam bermula jam 2 petang, JBPM Sabah menerima sebanyak 121 panggilan kecemasan.

Katanya, laporan yang diterima adalah berkaitan banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang di sekitar Kota Kinabalu, Penampang serta Tambunan.

Dalam kejadian semalam, tiga maut membabitkan seorang wanita, seorang kanak-kanak dan bayi berusia lapan bulan.

Tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu ialah Salmah Hamid, 25, dan bayinya, Dayana Zul Azmil serta Rosatima Asbirin, berusia lima tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|