Sabah perlu 2.8 juta vaksin bulan ini

Sabah perlu 2.8 juta vaksin bulan ini

Kota Kinabalu: Sabah berharap memperolehi kira-kira 2.8 juta dos vaksin Covid-19 lagi sepanjang bulan ini bagi meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sasaran purata pemberian vaksin pula akan ditingkatkan kepada 60,000 dos sehari sepanjang September.

“Seperti yang sudah dimaklumkan lebih awal, hampir 41 peratus penduduk dewasa Sabah setakat ini sudah melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19.

“Sasaran jumlah purata pemberian vaksin sehari bagi September ialah 60,000 dos dan Sabah berharap memperolehi agihan 2,889,150 dos vaksin untuk bulan ini.

“Ia bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) meingkatkan kadar vaksinasi kepada penduduk Sabah dalam bulan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata laporan kes harian Covid-19 Sabah hari ini menunjukkan sedikit lagi penurunan menjadikan 2,329 kes pada hari ini berbanding 2,430 kes semalam iaitu susut sebanyak 101 kes.

Satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Jalan Pahlawan di Kota Kinabalu yang sehingga kini mencatat 45 kes termasuk 41 kes baharu.

“Kes di Kota Kinabalu turun 164 kepada 458 kes hari ini tetapi naik dengan kadar yang agak tinggi di Keningau (+81), Kota Marudu (+71), Ranau (+29), Putatan (+26), Beaufort (+24), Kunak (+23) dan Sipitang (+30). Kinabatangan turun 107 kes kepada 58 kes hari ini,” katanya.

Beliau berkata, daripada 2,329 kes keseluruhan hari ini, sebanyak 878 kes (37.7 peratus) adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari, diikuti 132 kes (5.8 peratus) lewat didaftar empat hingga lima hari dan 219 kes (9.4 peratus) didaftar melebihi lima hari selepas keputusan ujian diketahui.

Katanya, saringan kontak rapat menjadi penyumbang utama keseluruhan kes hari ini dengan 1,379 kes (59.2 peratus), diikuti saringan bergejala sebanyak 658 kes (28.3 peratus) dan 82 kes melalui kluster kluster sedia ada.

“Seramai 2,168 daripada 2,329 kes adalah warga negara, manakala 161 kes membabitkan warga asing. Terdapat 25 orang OKT atau banduan dalam jumlah kes hari ini.

“Seramai 1,560 orang pesakit adalah dalam kategori dua, diikuti 668 dalam kategori satu, seramai sembilan orang dalam kategori tiga, diikuti empat orang dalam kategori empat dan 13 orang dalam kategori lima,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|