Pemandu lori ditahan cuba seludup 8 PATI warga Indonesia

Pemandu lori ditahan cuba seludup 8 PATI warga Indonesia

Lahad Datu: Cubaan seorang pemandu lori warga tempatan menyeludup masuk lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia gagal apabila ditahan dalam Sekatan Jalan Raya Op Benteng di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu – Tawau dekat Borneo Marble, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, semua mereka terdiri daripada seorang wanita dan tujuh lelaki ditemui bersembunyi di bahagian kontena lori jenis Hino dipandu suspek berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada warga asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, warga asing terbabit dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui laluan tikus ke Tawau seterusnya hendak ke Kota Kinabalu bagi mencari peluang pekerjaan.

“Semua tangkapan berusia 18 hingga 55 tahun itu ditahan bersembunyi di bahagian kontena lori berkenaan.

“Semua tangkapan dan rampasan di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, pemeriksaan lanjut turut merampas sejumlah wang tunai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|