Kota Kinabalu: Sabah memandang serius isu penggunaan katil hospital Covid-19 yang berada pada tahap tinggi berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan virus berkenaan sejak kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya, berkata tindakan menanganinya juga sudah diambil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, kerajaan negeri turut berusaha mencari jalan untuk membantu JKNS dan KKM mengurangkan kes jangkitan melalui beberapa pendekatan yang difikirkan sesuai.
“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai keadaan kes COVID-19 yang meningkat mendadak di Sabah ketika ini dan masalah pengunaan katil hospital pada tahap yang tinggi di beberapa daerah.
“JKNS dan KKM sudah membuat perancangan dan persediaan yang sewajarnya untuk menghadapi situasi kesesakan di wad sedia ada.
“Antaranya menukar penggunaan wad sedia ada kepada wad pesakit COVID-19 lengkap dengan ventilator,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, mendedahkan Sabah merekodkan penggunaan tertinggi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga melebihi kapasiti iaitu 126 peratus.
Sabah mencatat 2,329 kes baharu Covid-19 hari ini, masih pada paras tinggi meskipun ada penurunan sebanyak 101 kes berbanding 2,430 kes semalam.
Shahelmey yang juga Exco Kesihatan negeri, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah bersama KKM turut mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Panggilan Pemantauan di Rumah (HMCC).
Pusat berkenaan, katanya berfungsi sebagai pusat operasi yang membuat panggilan telefon dan pemantauan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang menjalani kuarantin di rumah.
“HMCC adalah tanda keprihatin kerajaan negeri terhadap keadaan pesakit yang sedang melaksanakan kuarantin di rumah dengan harapan dapat membantu menenangkan dan memantau proses penyembuhan mereka,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey berkata usaha mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 menjadi keutamaan kerajaan negeri bersama KKM dan JKNS dengan meningkatkan lagi pemberian vaksin kepada penduduk.
Jelasnya, pelbagai program jangkauan luar dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah penerima vaksin dalam usaha menambah sistem pertahanan badan penduduk dan mencapai imuniti kelompok.
“Langkah ini disasar dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan dan kemasukan pesakit COVID-19 ke wad sekali gus meredakan situasi penularan kes yang tinggi ketika ini,” katanya.
Laporan jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, hari ini menyatakan hampir 41 peratus penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin.
-Deasoka