Dua batalion PGA akan ditambah di Sabah

Dua batalion PGA akan ditambah di Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) merancang untuk menambah dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah.

Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dua batalion berkenaan sudah dibincangkan dan dirancang untuk diwujudkan di daerah Keningau dan Semporna.

Katanya, ia akan membabitkan sekurang lebih 1,000 anggota dan pegawai bagi kedua-dua batalion berkenaan.

“Tambahan kedua-dua batalion ini diharap akan dapat mengukuhkan dan memantapkan lagi pemantauan serta penugasan terutamanya di sempadan perairan negara.

“Kita berharap pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dapat meluluskan rancangan yang kita buat ini,” katanya pada sidang media selepas Upacara Penganugerahan Lencana Kehormat Jabatan KDNKA di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, hari ini.

Zainal berkata, pewujudan dua batalion itu dijangka akan dapat mengawal lebih banyak ketirisan yang berlaku terutamanya di daerah Semporna yang membabitkan kawasan perairan yang luas.

Katanya, pihak PDRM sudah bersedia untuk melaksanakan penubuhan dua batalion berkenaan kecuali membabitkan aset dari segi infrastruktur yang akan memakan masa.

“Sekiranya mendapat kelulusan, pihak KDNKA sudah bersedia termasuk memindahkan pegawai dan anggota yang sepatutnya berada di batalion berkenaan.

“Kita tidak mahu berlaku ketirisan sama ada di kawasan perairan dan hutan selain kawalan keselamatan membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Zainal berkata, penambahan itu juga membabitkan kawasan sempadan di Sarawak iaitu di daerah Kapit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|