Kota Kinabalu: Pesuruhjaya Polis Sabah baharu, Datuk Idris Abdullah menetapkan tiga fokus utama dalam menerajui kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Selain itu, beliau akan turut sama meneruskan kesinambungan kepimpinan terbaik
yang dilaksanakan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali sebelum ini.
Katanya, fokus pertama yang akan ditekankan adalah integriti bagi memastikan pasukan polis di negeri ini menghayati segala yang termaktub dalam etika perkhidmatan awam terutama dalam pasukan PDRM.
“Yang kedua, mungkin saya fokus dari segi sistem penyampaian supaya kita meningkatkan lagi kecekapan dari segi penyampaian perkhidmatan masyarakat.
“Ini mustahak, mungkin dulu sudah buat dan sebagainya, kita tengok balik dari segi keberkesanannya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Idris berkata, fokus ketiga adalah intuk melihat kembali dan menyokong apa saja polisi dan dasar kerajaan.
“Ini perlu bagi membantu kerajaan menjayakan apa-apa saja dasar termasuk ketika berhadapan pandemik.
“Polis Sabah akan memberi bantuan sepenuhnya supaya kita dapat memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata, cabaran di negeri ini adalah dari segi geografinya di mana Sabah bersempadan dengan dua negara.
Katanya, ia lebih kepada pendekatan diplomatik antara ketiga-tiga negara untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting.
“Mungkin di sini kita melihat balik strategi-strategi kita dari segi perisikan kita bagaimana nak mengumpulkan sebanyak mungkin dari segi maklumat-maklumat.
“Kalau kita tiada maklumat, segala perancangan kita tidak dapat dilaksanakan dengan betul,” katanya.
Selain itu katanya, perkara itu juga perlu dilihat dari segi bantuan teknikal memandang ketika ini zaman moden dan canggih.
“Apa yang kita tengok yang boleh membantu kita dari segi bantuan teknikal seperti yang dikatakan Ketua Polis Negara. Kita memerlukan aset yang lebih canggih dan sebagainya,” katanya.
-Deasoka