Lelaki maut ketika berjoging

Lelaki maut ketika berjoging

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 55 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika sedang berjoging di kawasan tempat letak kereta, Kompleks Sukan Likas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa Hasmin Usup dikatakan tiba- tiba rebah sebelum disedari beberapa individu lain.

Mangsa ditemui orang awam terbaring di kawasan tempat letak kereta Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, orang awam yang berada di lokasi kejadian terus menghubungi panggilan kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia selepas mendapatkan pemeriksaan pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan berlakunya sebarang unsur perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

“Mayat mangsa sudah dirujuk ke Jabatan Forensik HQE 1 untuk dapatkan pemeriksaan lanjut Covid -19 sebelum dijalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|