Kota Kinabalu: Seorang guru mendapat kehidupan baharu selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan menyeludup dadah ke negara ini lapan tahun lalu.
Wanita berumur 48 tahun itu sebelum ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati sebelum Mahkamah Persekutuan menerima rayuan terakhirnya pada prosiding secara maya melalui aplikasi Zoom, semalam.
Peguammya, Datuk Seri Rakhbir Singh, berkata prosiding itu berlangsung di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Datuk Abdul Rahman Sebli and Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.
Rakhbir berkata, anak guamnya, Suhailah Abdullah, yang sebelum ini mengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Semenanjung adalah guru pertama terlepas hukuman gantung atas dakwaan menyeludup dadah ke negara ini.
Katanya, Suhailah ditahan membawa barang terlarang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 27 Mei 2013.
“Berdasarkan fakta kes, dia ditahan selepas beg yang dibawanya dikesan mengandungi dadah methamphetamine seberat 959.5 gram yang ditemui dalam satu ruang tersembunyi di begnya ketika pemeriksaan kastam di KKIA.
“Ketika itu, dia baru sampai dari New Delhi, India melalui transit di Singapura dan tidak menyedari beg yang dibawanya mengandungi dadah tersembunyi.
“Suhailah kemudian didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tetapi Hakim Chew Soo Ho yang mendengar perbicaraan itu memutuskan tidak menemui sebarang kes menyeludup dadah,” katanya.
Rakhbir berkata, anak guamnya ketika itu hanya disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah dan Suhailah dihukum penjara selama 14 tahun bermula dari tarikh dia ditahan.
Katanya, pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pertama di Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2016 sebelum Suhailah diarah membuat pembelaan terhadap dakwaan asal menyeludup dadah.
“Ketika itu Hakim Chew Soo Ho sudah bersara dan pembelaan Suhailah didengar hakim Mahkamah Tinggi yang lain yang kemudian mendapati Suhailah bersalah menyeludup dadah lalu dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Rakhbir berkata, beliau kemudian memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Rayuan pada 6 Ogos 2018, namun rayuan anak guamnya ditolak.
“Rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan kemudiannya diterima dan didengar semalam sebelum kesalahan menyeludup dadah yang dibuat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan.
“Mahkamah Persekutuan turut menurunkan pertuduhan terhadap Suhailah kepada satu iaitu memiliki dadah mengikut Seksyen 39A(2)(r) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh dia ditahan tetapi memandangkan Suhailah sudah menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang, Selangor, dia akhirnya dibebaskan,” katanya.
Dalam hujahnya, Rakhbir berkata Suhailah ditipu dua warga Nigeria di New Delhi yang menyerahkan sebuah beg mengandungi pakaian baharu untuk diserahkan kepada rakan senegara yang menjalankan perniagaan pakaian di Malaysia.
Beliau berkata, anak guamnya bersetuju membantu membawa beg itu selepas memeriksa dengan teliti kandungannya tanpa menyedari ada dadah disembunyikan secara rahsia di tapak beg berkenaan.
Katanya, anak guamnya mengucap syukur dan berterima kasih kepada panel hakim Mahkamah Persekutuan kerana memberikan ‘nyawa’ kepadanya untuk terus hidup selain kepada peguamnya yang berjuang selama lapan tahun untuknya.
-Deasoka