Covid-19 Sabah: Jurulatih polis cetus kluster di PULAPOL

Covid-19 Sabah: Jurulatih polis cetus kluster di PULAPOL

Kota Kinabalu: Seorang jurulatih polis Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu mencetuskan kluster baharu Covid-19 membabitkan jangkitan di pusat berkenaan yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jangkitan berlaku dalam kalangan pelatih, rakan jurulatih dan pekerja dewan makan di pusat terbabit.

Katanya, selain di Kota Kinabalu jangkitan berkaitan Kluster Jalan Pahlawan itu turut membabitkan kes dari daerah Penampang.

“Kluster Jalan Pahlawan dilaporkan di Kota Kinabalu dan Penampang hari ini adalah kluster jenis institusi latihan. Kluster ini berlaku di PULAPOL Kota Kinabalu yang terletak dalam Mukim Petagas.

“Penularan jangkitan berlaku dalam kalangan pelatih konstabel polis, tenaga jurulatih polis, pekerja di dewan makan pusat latihan berkenaan serta turut menjangkiti ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes indeks berumur 44 tahun itu yang tinggal di Perumahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Blok Orkid Kepayan disahkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu.

Beliau berkata anggota polis terbabit bergejala sejak 24 Ogos sebelum menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu dan sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pirasan di Kota Belud untuk rawatan lanjut.

“Daripada 72 sampel yang diambil, sebanyak 45 kes adalah positif termasuk 41 kes baharu pada hari ini, manakala sembilan sampel didapati negatif dan 18 masih menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Sabah hari ini merekodkan sebanyak 2,329 kes baharu COVID-19 dengan 33 kes kematian iaitu 12 kes di Kota Kinabalu, diikuti sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Penampang dan Tenom, dua kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Tuaran, Putatan, Sipitang dan Keningau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|