PGA akan perkukuhkan tiga penugasan penting

PGA akan perkukuhkan tiga penugasan penting

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah akan terus memperkukuhkan tiga penugasan penting membabitkan Op Benteng Covid-19, Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, setakat ini semua penugasan berkenaan mencapai tahap yang terbaik dengan beberapa kejayaan.

Katanya, bagi Op Benteng Covid-19, ia membabitkan sebanyak 46 pos PGA iaitu 21 di kawasan pulau dan 25 lagi di kawasan daratan.

“Selain itu, kita juga mengadakan dua Pusat Pemeriksaan Daratan atau ‘Road Check Point’ (RCP) iaitu Sapi Nangoh dan Kalabakan.

“Saya tidak mempunyai statistik yang lengkap namun setakat ini, operasi ini berjaya mengekang kemasukan lebih 300 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menahan lebih 100 individu yang cubaan menyelinap masuk ke negeri ini.

“Bagi PATI yang dikesan di kawasan sempadan, kita akan menghalang dan menghalau mereka daripada masuk ke negeri ini.

“Manakala bagi PATI yang terbabit dengan kegiatan ‘transporter’ pula, kita akan tangkap termasuk dalang penyeludupan masuk PATI ini mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Upacara Penganugerahan Lencana Kehormat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang disempurnakan Pengarahnya Datuk Zainal Abidin Kasim, di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA di Kinarut, semalam.

Mohd Abduh mendahulu penerima Lencana Sayap Kehormar dan 3 lencana yang lain.

Mengulas lanjut, Mohd Abduh berkata, bagi Op Kontraban pula sepanjang enam bulan tahun ini PGA berjaya melakukan rampasan keseluruhan bernilai hampir RM30 juta membabitkan arak dan rokok seludup.

Manakala katanya, bagi Op Bersepadu Khazanah pula, PGA berjaya membantu Taman Taman Sabah (TTS), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan beberapa kejayaan tangkapan dan rampasan.

“Bagi kami, kejayaan yang dicapai dalam ketiga-tiga Op ini adalah hasil bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang menggunakan ‘dron’ dalam setiap operasi yang dijalankan.

“Terutamanya di kawasan Taman Taman Sabah di perairan dan hutan simpan. Oleh itu, kami merasakan penggunaan unit dron ini perlu diperluaskan lagi secara bersepadu dengan PGA,” katanya.

Mohd Abduh berkata, penggunaan unit dron ini akan membantu penugasan berkesan dengan keadaan Sabah yang sangat luas.

Sehubungan itu katanya, mereka bercadang untuk membawa perkara itu supaya elemen penugasan terutamanya ‘Tiger Platoon’ dan perisikan dibekalkan dengan dron untuk memudahkan lagi perlaksanaan tugas.

“Ia adalah satu keperluan mendesak dengan keluasan negeri Sabah ini. Kita berharap anggota dan pegawai terbabit diberikan kemahiran serta kepakaran mengurus dron,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|