Beaufort: Seramai 39 penduduk setakat ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Mohd Dun Banir akibat banjir di daerah ini dan daerah kecil Membakut sejak semalam.
Semua mangsa adalah penduduk Kampung Brunei, Membakut dipindahkan petang semalam setelah rumah mereka terjejas akibat banjir.
Sementara itu, banjir di 44 kampung di daerah ini dan 15 kampung di Membakut dilaporkan tidak banyak berubah berbanding semalam.
Mangsa banjir menjalani saringan kesihatan sebelum dimasukkan ke PPS di Dewan Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort.
Bagaimanapun, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, pagi ini menyatakan paras Sungai Padas dan Sungai Membakut menunjukkan aliran menurun.
Keadaan banjir di Membakut.
Setakat jam 6 pagi tadi, catatan kedalaman Sungai Padas di Beaufort masih berada pada paras bahaya 9.12 meter, manakala kedalaman Sungai Membakut juga masih pada paras bahaya dengan catatan 7.03 meter.
-Deasoka