Sabah komited bangunkan OKU

Sabah komited bangunkan OKU

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri terus komited membangunkan golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata ini bagi menjamin hak dan keperluan golongan ini.

“Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) ini merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan masyarakat bagi kumpulan sasar kanak-kanak golongan OKU.

“Ini bagi memastikan kanak-kanak golongan OKU terutama yang kurang berkemampuan tetap mendapat hak dan keperluan mereka,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemubual oleh pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) di Sembulan, hari ini.

Shahelmey juga mengalu-alukan ibu bapa dan juga penjaga kanak-kanak OKU untuk menghantar anak mereka ke TDKKU bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan asas.

“Kita mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka yang OKU ke TDKKU ini.

“Ini agar mereka boleh dilatih untuk menjaga diri disamping diberi pendedahan 3M iaitu membaca, menulis, mengira serta perkhidmatan fisioterapi kepada kanak-kanak OKU yang memerlukan” katanya.

Sebagai rekod, terdapat enam buah TDKKU di negeri Sabah iaitu di Sembulan, Sandakan, Tawau, Kudat Beaufort dan Lahad Datu.

TTDKU Sembulan mempunyai kapasiti untuk memuatkan 40 kanak-kanak OKU.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|