Kota Kinabalu: Pasukan kesebelasan utama kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu beraksi sebaiknya bagi meraih tiga mata penuh untuk membolehkan Sabah FC layak ke pusingan suku akhir TM Piala Malaysia 2021.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan berkata, misi ini akan pasti berakhir dengan kejayaan dengan semangat juang pemain dan sokongan padu penyokong tuan rumah.
Katanya, walaupun skuad sang badak berdepan cabaran dalam perlawanan ini namun beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap konsistensi jurulatih berpengalaman, Kim Swee mampu mencipta kejayaan.
“Ini merupakan perlawanan yang penting. Kita doakan agar Sabah dapat layak ke peringkat seterusnya dengan semangat juang yang tinggi selain sokongan padu penyokong Sabah FC.
“Kita juga yakin dengan barisan pemain muda dan senior yang akan diturunkan Kim Swee malam ini mempunyai percaturan strategi tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), yang diadakan di Padang Bola Sepak Sintetik Likas, Kompleks Sukan Likas, di sini, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan persahabatan SAFA dan SJA, Jelani berkata, semangat berpasukan dan persahabatan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan memeriahkan lagi warna-warni dunia bola sepak di negeri ini.
Katanya, tujuan utama penganjuran ini sudah pasti bagi mengeratkan lagi silaturahim antara rakan-rakan media dan SAFA.
“Hari ni merupakan kesinambungan perlawanan persahabatan yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara pihak safa dan media yang sentiasa akrab.
“Kita tahu seperti sebelum ini, di mana ada SAFA maka di situ juga ada rakan-rakan media yang membantu mempromosikan dan menjayakan pelbagai usaha SAFA,” katanya.
Dalam perlawanan persahabatan itu, pasukan SJA mengungguli permainan dengan kemenangan 6 berbalas 3 gol.
Pasukan SJA membuka menjaringkan dua gol pertama pada perlawanan separuh masa pertama apabila pemain dari Deasoka.Com, Junaidi Ladjana berjaya menewaskan penjaga gol Pasukan SAFA Nick Samad.
Perlawanan bertambah sengit apabila kedua-dua pihak saling menyerang balas untuk terus mencari gol pada separuh masa kedua.
Pasukan SJA terdiri daripada kalangan rakan media dari pelbagai agensi media seperti Deasoka.Com, RTM dan akhbar serta portal tempatan dan nasional.
Manakala, pasukan SAFA pula menurunkan pemainnya rata-rata terdiri daripada kakitangan SAFA termasuk bekas pemain negeri seperti Jelius Ating, Mathius Suleiman dan Azman Mastar.
-Deasoka