Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) siap sedia untuk kembali mempromosikan negeri ini secara agresif sebagai destinasi percutian pilihan melalui Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) atau MATTA Fair.
Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu disertai 20 syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali selam skuba dari Sabah, kebanyakannya mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata usaha MATTA menganjurkan pameran pelancongan secara fizikal adalah langkah positif bagi merancakkan semula sektor pelancongan.
“Kita amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh MATTA sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. Pada bulan ini saja sebanyak 56 penerbangan mingguan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan 98 penerbangan AirAsia ke Sabah membawa kapasiti penuh penumpang.
“Ini menunjukkan orang ramai kini mempunyai keyakinan untuk melancong semula. Hotel dan tempat menarik di negeri ini sudah sedia untuk menerima pelawat termasuk yang datang dari luar Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai Pameran MATTA 2021 yang turut disertai Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka menyempurnakan pameran pelancongan terbesar Malaysia itu pada 20 November ini.
Joniston berkata, kehadiran Ketua Menteri juga penting kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk melihat industri pelancongan Sabah pulih dengan segera.
Sementara itu, Joniston berkata pelancaran kempen #MansauSabahBoostku baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan semua baucar ditebus sepenuhnya dalam masa kurang daripada 15 jam.
Dengan kerjasama penyedia perkhidmatan E-wallet Malaysia, kempen itu berhasrat untuk menggiatkan semula sektor pelancongan Sabah dan industri berkaitan.
“Maklum balas ini menunjukkan ramai orang Malaysia sudah tidak sabar-sabar untuk menerokai Sabah. Saya berharap pengguna akan memanfaatkan baucer mereka sepenuhnya selain menikmati tawaran pakej melancong ke Sabah yang ada pada Pameran MATTA,” katanya.
STB membuka pavilion di Dewan 4 WTC dengan 12 gerai pameran iaitu pavilion negeri terbesar pada Pameran MATTA kali ini yang berlangsung selama dua hari.
Sementara itu, Kok Liang berkata ini kali ketiga Sabah menyertai Pameran MATTA dan beliau menyatakan keyakinan promosi pelancongan Sabah akan mendapat sambutan sepanjang pameran berkenaan.
“MATTA menyasarkan untuk menerima 20,000 pengunjung ke pameran itu dan menjana RM25 juta jualan domestik.
“Sebanyak 80 peratus gerai pameran sudah dipenuhi dan kami berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk memanfaatkan pakej pelancongan yang turut ditawarkan oleh negeri lain,” katanya.
-Deasoka