30 peratus keluasan Sabah dilindungi sepenuhnya

30 peratus keluasan Sabah dilindungi sepenuhnya

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan memperluaskan lagi Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di bawah inisiatif Heart of Borneo (HoB) atau Jantung Borneo bagi mencapai 30 peratus daripada keluasan negeri ini menjelang 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pada masa ini lebih 26 peratus keluasan tanah negeri ini atau 1.9 juta hektar sudah diwartakan sebagai TPA di bawah inisiatif berkenaan.

Katanya, Sabah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam pemuliharaan hutan sejak pelaksanaan inisiatif HoB 14 tahun lalu dengan 75 peratus daripada 1.9 juta hektar TPA yang diwartakan di negeri ini terletak di kawasan sempadan negara di Borneo.

Beliau berkata, sasaran pengembangan TPA adalah sejajar dengan pelan pembangunan lima tahun Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021– 2025 yang mana inisiatif HoB termasuk dalam Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

“Berdasarkan usaha bersepadu yang kita lakukan, Sabah sudah mengekalkan sebanyak 50 peratus daripada keluasan negeri ini di bawah perlindungan hutan dan kita meningkatkan lagi kawasan litupan hutan kepada 65 peratus.

“Kira-kira 52 peratus daripadanya diwartakan sebagai Hutan Simpan, Taman dan Kawasan Konservasi Hidupan Liar. Projek HoB juga memulihkan 2,000 hektar hutan simpan,” katanya ketika merasmikan persidangan antarabangsa HoB yang pertama secara maya, di sini, hari ini.

Persidangan itu bertemakan ‘Inisiatif HoB – Melangkah ke Hadapan dalam Norma Baharu’.

Hajiji berkata Sabah juga menjadi negeri pertama di negara ini yang melancarkan Amalan Peraturan Baik (Good Regulatory Practice) bagi mencontohi langkah yang diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Sehubungan itu, katanya Sabah akan melaksanakan Pengurusan Landskap Bersepadu HoB di bawah ‘Global Environment Facility-funded, Food Systems, Land Use and Restoration Impact Programme’ (FOLURIP), sebuah projek yang memfokuskan kepada pengurusan pembangunan tanah dan alam sekitar.

“Projek enam tahun ini membabitkan sebanyak 1.6 juta hektar dalam landskap HoB dengan kos RM30.3 juta (USD7.3 juta) yang akan dibiayai oleh Global Environment Facility (GEF) di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Sabah juga akan terlibat dalam satu lagi program yang dibiayai UNDP iaitu projek BIOFIN berkaitan Pemuliharaan Kewangan di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah juga menjalinkan kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi, melaksanakan 79 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) sejak beberapa tahun lalu dan akan menambah lapan lagi MoU dalam senarai itu sempena persidangan HoB hari ini.

Sejak 2009, katanya kerajaan persekutuan menyalurkan sebanyak RM47 juta untuk inisiatif HoB dan menjanjikan tambahan RM13 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Selain itu, jelasnya sejak 2007, sebanyak 22 pos lapangan diwujudkan untuk meningkatkan penguatkuasaan di dalam hutan simpan Sabah.

“Jabatan Perhutanan Sabah menubuhkan pasukan taktikal elit dikenali sebagai PROTECT iaitu skuad khas anti pemburuan haram untuk membantu penguatkuasaan dengan kerjasama rapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Operasi Khazanah bagi memantau isu pencerobohan hutan.

“Bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan, kita juga mengambil masyarakat setempat untuk berkhidmat sebagai Renjer Hutan Kehormat dan hari ini kita mempunyai 112 renjer daripada 700 penduduk kampung,” katanya.

Pada masa sama, katanya sebanyak 42 ekspedisi saintifik dilaksanakan di kawasan HoB setakat ini termasuk membabitkan 1,800 pelajar tempatan dari 34 sekolah.

Beliau berkata ekspedisi penyelidikan itu menghasilkan beberapa penemuan saintifik, antaranya pokok hutan hujan tertinggi di dunia di Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lahad Datu dan penemuan Langur Hose endemik Borneo di Maligan, Sipitang.

“Hasil daripada ekspedisi itu akan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam merangka Rancangan Pemuliharaan khususnya di kawasan Nilai Konservasi Tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, sejajar pelaksanaan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) di peringkat persekutuan untuk melihat isu perubahan iklim, Sabah juga akan mempunyai platform CAC sendiri untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin kehijauan, teknologi dan pertumbuhan rendah karbon.

“Sabah akan menjalankan perdagangan karbon dengan berhati-hati supaya aktiviti seperti itu tidak menjejaskan komitmen pelepasan gas rumah hijau (GHG) negara,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata persidangan tahun ini akan membantu kerajaan mengumpul sumber bagi merangka Pelan Tindakan Strategik (SPA) ketiga untuk inisiatif itu.

Jelasnya kali pertama SPA disediakan pada 2013 dan akan siap menjelang 2022.

Beliau juga gembira melihat usaha berterusan penyelidikan oleh saintis dan penulis di HoB yang menghasilkan beberapa penerbitan seperti dua buku baharu oleh Markus Gubilil bertajuk ‘Senarai Semak Pokok Sabah – edisi baharu’ dan ‘Panduan Bergamba: Likofit dan Paku Pakis di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|