Majikan disaran tubuh jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja

Majikan disaran tubuh jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja

Kota Kinabalu: Majikan di Sabah disaran menubuhkan jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ini bagi memastikan kakitangan lebih peka dan mempunyai kesedaran tentang penyalahgunaan dadah.

“Saya menyarankan majikan untuk mengambil inisiatif dengan menubuhkan jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja masing-masing.

“Ini bagi membantu majikan dan kakitangan sama-sama memahami bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah.

“Pelaksanaan ujian air kencing secara berkala juga perlu diusahakan bagi memastikan majikan dan pekerja sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bebas dadah.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, penyalahgunaan dadah di tempat kerja akan membantutkan kecemerlangan sesebuah organisasi atau syarikat.

“Latihan dan program pencegahan penyalahgunaan dadah di pejabat seperti program gaya hidup sihat perlu dilakukan bagi mewujudkan komuniti bebas dadah sekaligus meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan produktiviti dan seterusnya membantu meningkatkan sumber ekonomi Negeri Sabah” jelasnya.

Sebagai rekod, Program TEKAD merupakan satu usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di sektor kerjaan mahupun swasta anjur Agensi Antidadah Kebangsaan yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|