Sabah kaya tapi miskin – Jeffrey Kitingan

Sabah kaya tapi miskin – Jeffrey Kitingan

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meluahkan rasa sakit hati berikutan kedudukan Sabah sebagai negeri termiskin di negara ini walaupun dianggap kaya dengan hasil minyak dan sumber lain.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata kenyataan itu sangat perit untuk diterima selepas mengambil kira bahawa Sabah menyumbang hasil yang besar kepada pendapatan negara.

“Sakitnya hati kami bila menyedari bahawa Sabah adalah negeri yang termiskin di Malaysia dan lapan daripada 10 daerah yang termiskin adalah di Sabah.

“Sedangkan Sabah adalah pengeluar minyak mentah terbesar di Malaysia, menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran Malaysia dan pengeluar minyak sawit nombor tiga terbesar di dunia,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jeffrey berkata, alangkah baiknya jika Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dapat menunjukkan komitmen terhadap perlembagaan mulai Bajet 2022 dan memasukkan RM2 bilion kepada Sabah dan Sarawak demi meredakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati rakyat kedua-dua negeri.

Beliau turut mempersoalkan erti kemakmuran bersama yang dibawa kerajaan jika asas pembahagian perbelanjaan dan pembangunan masih mengikut cara lama yang berat sebelah dan berpusat di Semenanjung.

“Bagaimanakan anda boleh melayan Sabah sebagai satu unit sedangkan Malaya dilayan dengan mempunyai 11 unit. Contohnya, RM20 juta diberikan kepada setiap daripada 11 SEDC di 11 negeri di Semenanjung dan hanya RM20 juta di Sabah.

“Ia jelas menunjukkan ketidakseimbangan memandangkan Semenanjung mendapat keseluruhan RM220 juta berbanding RM20 juta saja di Sabah, sedangkan ia lebih besar daripada enam negeri di Semenanjung.

“Kawasan saya di Parlimen Keningau saja lebih besar berbanding gabungan tiga negeri di Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.

“Sarawak saja hampir seluas Semenanjung tetapi dilayan sebagai satu unit dibandingkan dengan Semenanjung yang mempunyai 11 unit, sudah tentu sangat tidak adil,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata peruntukan pembangunan RM5.2 bilion untuk Sabah dan RM4.6 bilion untuk Sarawak dalam bajet tahun depan hanya mewakili 6.7 peratus dan 5.9 peratus daripada RM77.6 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan dalam bajet tahun depan.

Sebaliknya, beliau berkata Semenanjung mendapat agihan RM67.5 bilion atau 87.4 peratus sedangkan GDP perkapita di Sabah hanya USD6,000 iaitu separuh daripada purata nasional USD12,000.

“Bagaimana anda menjangkakan Sabah dan Sarawak dapat mencapai dan menikmati kemakmuran bersama dengan layanan bajet seperti ini?

“Jangan beri kami cangkul untuk meratakan gunung. Kami di Sabah menghadapi banyak masalah daripada soal keselamatan, pendatang tanpa izin, kemiskinan dan ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya.

Bagi mengatasi keadaan itu, katanya Sabah dan Sarawak perlu dilihat sebagai rakan dan melayan kedua-dua negeri berdasarkan jumlah residensi atau bahagian iaitu lima di Sabah dan sembilan di Sarawak sama dengan 11 negeri di Semenanjung.

Katanya, agihan pembangunan perlu dilakukan mengikut nisbah 50:25:25 di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Dengarlah keluhan dan rintihan dari Sabah dan Sarawak sebelum terlambat memandangkan suara YB Sabah dan Sarawak semakin ramai dan kemarahan di luar Dewan yang mulia ini semakin besar sehingga kedengaran suara Sabah Sarawak keluar Malaysia atau Malaya dikeluarkan dari Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|