Covid-19 Sabah: Kes sporadik atau bergejala kekal tinggi

Covid-19 Sabah: Kes sporadik atau bergejala kekal tinggi

Kota Kinabalu: Sabah masih mencatat peratusan yang agak tinggi kes jangkitan Covid-19 secara sporadik atau dikesan melalui saringan bergejala dengan 38.2 peratus daripada 364 kes baharu hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes Covid-19 yang berada dalam kategori itu sering dikaitkan dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, jangkitan itu kebanyakan berlaku ketika berkumpul atau berada dalam khalayak ramai.

“Ini terbukti melalui dapatan daripada punca kluster baharu yang muncul sekali sekala.

“Adalah diharapkan agar seluruh masyarakat mengambil berat keperluan mematuhi semua SOP lebih-lebih lagi Sabah kini melangkah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan media petang ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, jkes harian Covid-19 di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan 41 kes berbanding semalam.

“Jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini ialah 364. Daripada jumlah itu, 98 peratus adalah pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

“Dua orang pesakit sahaja dalam Kategori 3 dan dua orang juga dalam Kategori 4 serta seorang pesakit dalam Kategori 5,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|