RM15 billion cadangan pelaburan diluluskan di SOGIP – Hajiji

RM15 billion cadangan pelaburan diluluskan di SOGIP – Hajiji

Kota Kinabalu: Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) meluluskan cadangan projek pelaburan berjumlah RM15 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dengan jumlah pelaburan yang begitu besar, ia bakal mewujudkan limpahan perniagaan selain ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, selain pemprosesan gas asli cecair (LNG) menggunakan fasiliti terapung berdekatan pantai milik PETRONAS, projek lain yang diluluskan di SOGIP termasuk fasiliti pemprosesan oleo kimia bersepadu.

Katanya, SOGDC turut meluluskan cadangan fasiliti proses pengeluaran logam silikon dan perkhidmatan sokongan berkaitan seperti pengurusan sisa serta perkhidmatan marin.

“Kerajaan negeri komited untuk membangunkan industri hiliran dengan menumpukan lebih banyak pelaburan terhadap sumber sedia ada termasuk minyak dan gas selain memanfaatkan sepenuhnya taman perindustrian seperti SOGIP.

“Semua ini sejajar dengan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah SOGDC di Menara Kinabalu, di sini, siang tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan bekas Ketua Projek Negeri dan Pengurusan Projek (Direktorat Projek) Kumpulan PETRONAS Chemicals Berhad, Datuk Mohd Shariff Ibrahim.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata aspirasi kerajaan negeri itu dapat dicapai melalui pembentukan jawatankuasa baharu Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) dengan objektif untuk mendapatkan perkongsian lebih baik daripada minyak dan gas.

Katanya, ia juga bagi memastikan penyertaan lebih baik Sabah dalam rantaian nilai minyak dan gas, selain lebih kuat dalam pembangunan sektor berkenaan di negeri ini.

“Ketersediaan dan kedekatan sumber hidrokarbon negeri ini serta lokasi strategik SOGIP menarik ramai pelabur baharu ke taman perindustrian itu.

“Gas asli yang disediakan di SOGIP akan mewujudkan peluang kerja berkualiti untuk graduan menganggur dan menyediakan peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan,” katanya.

Selepas mesyuarat itu, Hajiji menerima Manual Anti Suapan dan Rasuah (Langkah-Langkah Mencukupi) dan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 daripada pasukan pengurusan SOGDC yang diketuai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Kadir Damsal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|