Kota Kinabalu: Sebuah rumah kongsi yang menempatkan 12 pintu rumah pekerja musnah terbakar dalam kejadian di kilometer 11, Jalan Tuaran, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, rumah yang dipercayai menempatkan pekerja sebuah syarikat berkeluasan 278 meter persegi itu musnah 100 peratus.
Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan rumah pekerja dalam kejadian di kilometer 11, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. Gambar ihsan Bomba
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 21 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan BBP Kota Kinabalu serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan api pada rumah berkenaan sudah terlalu marak dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dari dua pancutan sejauh lebih 110 meter dari sumber air dari tangki jentera,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, api kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 2.05 pagi dan operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 4.03 pagi.
“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.
-Deasoka