PRN Melaka: Kempen bermula tanpa aktiviti berhimpun

PRN Melaka: Kempen bermula tanpa aktiviti berhimpun

Melaka: Seramai 112 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disahkan layak bertanding selepas penamaan calon semalam memulakan kempen tanpa aktiviti perhimpunan atau perjumpaan fizikal bersama pengundi seperti kebiasaan pilihan raya.

Ia selaras larangan yang dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya itu berdasarkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 November 2021 dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Dalam kenyataan semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata SOP itu selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

“Bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai tidak dibenarkan. Begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti ‘walkabout’ adalah tidak dibenarkan.

“Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial,” katanya.

Calon bagaimanapun dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit, namun tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan untuk menyampaikan ceramah.

Abdul Ghani berkata, calon perlu mendapatkan permit daripada polis yang akan menentukan tempoh dan lokasi untuk berkempen.

“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dengan suasana yang penuh harmoni dan mengikut undang-undang serta peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, sepanjang tempoh kempen, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa atau Bilik Gerakan Utama untuk satu DUN dan tiada Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan.

Jelasnya, bahan kempen lain seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster boleh digunakan tetapi hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak serta penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.

PRN Melaka menyaksikan seramai 112 calon bertanding di 28 kawasan DUN dengan tiga DUN berlaku pertembungan enam penjuru, diikuti lima penjuru di lima DUN, empat penjuru (sembilan) dan tiga penjuru (11).

Selain Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertembung di semua 28 kerusi, turut bertanding ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim (IMAN) di satu kerusi dan calon Bebas (22).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|