Kota Kinabalu: Hasrat Sabah untuk bangkit semula ketika menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini bukan saja tidak kesampaian malah dibelasah teruk 6-0.
Lebih memilukan, ia adalah kekalahan teruk kedua skuad Sang Badak selepas dibelasah dengan 4-0 di tangan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 28 Ogos lalu.
Detik malang Sabah malam ini bermula pada minit ke-22 dan ke-23 apabila penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi merembatkan dua gol berturut-turut dengan hanya berselang seminit.
Sabah yang mula kelihatan tertekan gagal menyerang balas untuk mendapatkan gol, sebaliknya Selangor menambah lagi gol ketiga pada minit ke-45 melalui Mukhari Ajmal sebelum wisel waktu rehat dibunyikan.
Ketika babak kedua bermula, Sabah ditekan lagi dengan gol keempat Selangor yang dicipta sebaik permainan baru bermula pada minit ke-46 yang dijaringkan Nor Hakim Hassan.
Walaupun Sabah mula mengatur serangan untuk mencari gol pada separuh masa kedua, namun tiada satupun cubaan yang membuahkan hasil.
Sebaliknya, Selangor sekali lagi berjaya mencipta gol melalui Danial Asri pada minit ke-74, selain satu lagi gol pada minit ke-88 melalui Omosuyi sekali gus membelasah Sabah dengan 6-0.
-Deasoka