SESB teruskan kerja baik pulih bekalan

SESB teruskan kerja baik pulih bekalan

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meneruskan kerja membaik pulih bekalan elektrik yang terjejas berikutan hujan dan banjir di beberapa daerah sekitar pantai barat selepas keadaan cuaca mengizinkan, hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pasukan teknikal SESB memasuki kawasan terjejas sebaik keadaan selamat untuk dilalui.

Beliau berkata, antara tumpuan pembaikan adalah tiang elektrik yang tumbang akibat tanah runtuh dan talian putus, selain memastikan pencawang elektrik berfungsi dengan baik.

“Pasukan teknikal SESB bertugas 24 jam secara bergilir dengan bantuan kontraktor yang dilantik sejak Khamis lalu untuk memastikan kerja-kerja membaik pulih dilaksanakan demi kelangsungan bekalan kepada pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, Idris meminta pengguna untuk menghubungi SESB Careline di talian 15454, 088- 515000 atau Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang aduan jika mengalami gangguan bekalan.

Beliau turut mengulangi nasihat agar orang ramai tidak menghampiri pepasangan SESB bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|