Sabah FC mampu bangkit di bawah Kim Swee – Bung Moktar

Sabah FC mampu bangkit di bawah Kim Swee – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Skuad Sabah FC mampu bangkit untuk menjadi pasukan yang lebih baik setanding dengan pasukan ternama lain di seluruh negara dalam saingan Liga Super musim depan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih baharu, Datuk Ong Kim Swee.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata walaupun pihaknya tidak menetapkan apa-apa sasaran kepada Kim Swee, namun beliau meletakkan harapan untuk melihat pencapaian Sabah FC lebih baik berbanding tahun ini.

Beliau berkata, Sabah FC perlu belajar daripada kesilapan sepanjang aksi Liga Super musim ini dan meningkatkan komitmen serta semangat untuk berlawan demi memartabatkan arena bola sepak Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan kehadiran Datuk Ong Kim Swee dan saya yakin komitmen kita untuk memastikan bola sepak di Sabah terus maju dapat mengembalikan kedudukan sukan bola sepak di Sabah pada kedudukan yang boleh dibanggakan.

“Tambahan lagi, rakyat Sabah sudah lama mahu melihat sukan bola sepak di negeri ini untuk maju ke hadapan, namun pada tahun ini, pasukan kita masih belum menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Sayapun minta maaf ekoran kekalahan kita dalam enam tujuh perlawanan dalam Liga Super musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak Kim Swee sebagai pengendali baharu skuad Sang Badak, di sini, malam tadi.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mengikat kontrak selama dua tahun untuk membimbing pasukan Sabah FC bermula dengan aksi Piala Malaysia 2021 yang dijadual bermula esok bagi perlawanan peringkat kumpulan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata apa yang penting Sabah FC mesti terus maju ke hadapan dan berubah untuk menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kita perlu belajar daripada kesilapan dan saya yakin dengan pengalaman Datuk Ong Kim Swee, kita dapat mengangkat martabat bola sepak Sabah.

“Namun, kita tidak boleh letak harapan yang Sabah terus menang. Jangan kita tekan pasukan untuk terus menang tapi yang penting bermain dengan komitmen tinggi.

“Kita yakin boleh meningkatkan kedudukan Sabah setanding dengan pasukan yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|