Bung Moktar nafi kelirukan Dewan Rakyat

Bung Moktar nafi kelirukan Dewan Rakyat

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat apabila beliau berhujah bahawa tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan menamatkan perjanjian Rakan Penyampai Projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebelum ini sebagai satu kesilapan besar.

Sambil mempertahankan kebenaran perkara itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata PH dan Warisan yang berkuasa di negeri ini pada ketika itu sememangnya menamatkan PDP tanpa berfikir panjang terutama mengenai keperluan untuk menerbitkan sukuk atau bon terlebih dahulu.

Katanya, khidmat PDP bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak juga ditamatkan, namun kerajaan negeri itu berbuat demikian selepas menerbitkan sukuk untuk mendapatkan dana membiayai pelaksanaan projek berkenaan.

“Sebab itu pelaksanaan projek Pan Borneo di Sarawak berjalan lancar tanpa gangguan dari segi kelewatan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak di antara Sabah FC dan Ketua Jurulatih Bolasepak Sabah yang baharu, Datuk Ong Kim Swee, di sini, malam tadi.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa Ahli Parlimen PH yang mendakwa beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata susulan tindakan PH dan Warisan menamatkan PDP, projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah kini hanya bergantung kepada peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setiap tahun daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu bagi melaksanakan pakej dalam fasa pembinaan Pan Borneo yang dianggarkan bernilai puluhan bilion ringgit.

“Jika pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah bergantung semata-mata kepada peruntukan pembangunan RM1 bilion setiap tahun, maka ia akan mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk disiapkan,” katanya.

Berikutan itu, Bung Moktar menegaskan beliau tetap berpegang kepada kenyataannya sebelum ini dan mengulangi bahawa PH dan Warisan melakukan kesilapan besar dalam hal itu, sekali gus menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah.

Katanya, ketiadaan peruntukan infrastruktur berikutan penamatan PDP tanpa menerbitkan sukuk terlebih dahulu menyebabkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kekurangan dana untuk memastikannya dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|