Ong Kim Swee janji ubah kedudukan Sabah FC

Ong Kim Swee janji ubah kedudukan Sabah FC

Kota Kinabalu: Penyokong dan peminat bola sepak di Sabah bakal menyaksikan kelainan dalam corak permainan dan persembahan Sabah FC yang dibawa pengendali baharunya, Datuk Ong Kim Swee.

Itu antara janji Kim Swee selepas menerima tanggungjawab mengetuai kejurulatihan skuad Sang Badak berikutan keputusan pengurusan Sabah FC sebelum ini merehatkan Ketua Jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto disebabkan prestasi pasukan yang tidak memberangsangkan.

Meskipun mengakui ia satu tugas yang berat untuk memulihkan pasukan berkenaan, Kim Swee berkata beliau tetap yakin Sabah FC mampu bangkit dan menjadi antara pasukan disegani dalam aksi Liga Super musim depan.

“Ini satu tanggungjawab besar. Walaupun dalam perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Sabah FC, kita tidak meletakkan sasaran, namun saya berjanji pasti ada kelainan selepas ini.

“Matlamat kita ialah untuk menjadikan pasukan Sabah FC lebih baik dalam Liga super tahun depan. Kita akan berusaha untuk menjadikan Sabah FC salah satu pasukan yang disegani dan mampu bersaing di peringkat yang cukup tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani kontrak Ketua Jurulatih Sabah FC dalam satu majlis yang disaksikan Bung Moktar, di sini, malam tadi.

Kim Swee berkata beliau bukan saja memberi tumpuan kepada meningkatkan prestasi pasukan senior, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat baharu bola sepak dalam kalangan remaja dari seluruh negeri.

Sementara itu, mengenai aksi Piala Malaysia 2021, Kim Swee berkata beliau yakin Sabah mampu melangkah ke pusingan seterusnya jika mampu mencapai kemenangan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan pada minggu depan.

Beliau yakin semangat perlawanan yang tinggi pemain Sabah FC mampu mencapai sasaran yang ditetapkan itu menerusi strategi permainan yang dirancang.

Kim Swee bukan asing dalam arena bola sepak di Sabah kerana beliau sebelum ini pernah menjadi pemain yang mengharumkan nama Sabah sebagai pasukan bola sepak disegani di negara ini pada era 1990-an.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|