PPM usir 11 PATI Filipina, cuba masuk perairan Semporna

PPM usir 11 PATI Filipina, cuba masuk perairan Semporna

Semporna: 10 pendatang asing tanpa izin (PATI), berjaya diusir ketika cuba menceroboh masuk perairan negara, berhampiran Pulau Kulapuan, di sini, semalam.

Semua individu yang dipercayai dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan Semporna kira-kira jam 9.20 pagi ketika rondaan di kawasan tanggungjawab dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika anggota PPM Semporna menjalankan rondaan bergerak di perairan Pulau Kulapuan mengesan sebuah bot bergerak laju dari arah perairan selatan Pulau Mataking.

Katanya, pasukan PPM kemudian mengekori dan menahan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot yang dijuragani oleh seorang lelaki dewasa warga Filipina.

“Hasil percakapan dari juragan mengaku mereka dari Sitangkai Filipina.

“Pemeriksaan dokumentasi bot tiada nombor pendaftaran telah cuba memasuki perairan daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut didapati tiga lelaki dewasa, lima wanita dewasa dan satu kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Semua mereka tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai dari Filipina. Susulan itu, pengusiran telah dibuat dan bot berkenaan diiring keluar dari perairan negara.

“Selain itu, diarahkan semua mereka supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegah Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|