Beluran: Pasukan bomba berdepan cabaran sehingga terpaksa masuk ke muara sungai dalam operasi memadam kebakaran di Kampung Kolapis Pasir, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, rumah berkeluasan 111 meter persegi yang terbakar musnah hampir 90 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.37 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan api kebakaran.
Anggota bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Kolapis Pasir, Beluran.
“Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 152 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air tangki jentera.
“Setakat ini, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 12.07 tengah hari daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka