Kota Kinabalu: Sebanyak 91 sekolah di Sabah terlibat dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, berkata pemberian vaksin di sekolah akan diteruskan apabila sekolah mula dibuka nanti jika ada keperluan.
Katanya, pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah dapat membantu memudahkan proses pemberian vaksin untuk golongan remaja, khususnya murid dan pelajar di sekolah terbabit.
“PPV di sekolah di Sabah sahaja ada 91, jadi ini akan terus berjalan dan masa sesi sekolah dibuka nanti kalau ada keperluan kita akan teruskan juga supaya memudahkan anak-anak kita, murid kita untuk mendapatkan vaksin.
“Jadi 91 sekolah ini memang cukup banyak tapi kita juga dibantu oleh PPV awam yang turut memberikan vaksin kepada remaja,” katanya ketika melawat PPV Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Telipok, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Adzman Talib dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata berdasarkan data semasa, kadar vaksinasi remaja di Sabah adalah yang tertinggi di seluruh negara setakat ini.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan tahap kesedaran tinggi ibu bapa dan masyarakat umum di Sabah mengenai kepentingan mengambil vaksin.
“Kalau mengikut data dan statistik kita, alhamdullilah Sabah antara negeri yang terbanyak anak-anak yang berumur 12 tahun ke atas telah menerima vaksin, jadi ini menggambarkan kesedaran yang tinggi di Sabah,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan program yang sama di seluruh negara berjalan lancar bagi memastikan lebih dua juta remaja divaksin.
Setakat semalam, katanya kira-kira 600,000 remaja di seluruh negara sudah menerima vaksin.
-Deasoka