KATC sasar jadi peneraju teknologi aeroangkasa di Sabah pada 2026

KATC sasar jadi peneraju teknologi aeroangkasa di Sabah pada 2026

Kota Kinabalu: Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP (KATC) meletakkan sasaran untuk menjadi sebuah syarikat teknologi aeroangkasa yang diterajui sendiri rakyat Sabah menjelang 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif KATC, Aminuddin Zakaria, berkata beliau berharap kerjasama dengan rakan yang sesuai bakal membuka jalan kepada pusat yang dimiliki sepenuhnya oleh KKIP Sdn Bhd itu untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Kerjasama dengan SMTRACK, Borneo Jet & Cargo dan Borneo Drone akan menyediakan pengetahuan dan pendedahan kepada rakyat Sabah untuk menjadi pakar dan akhirnya memperkasa mereka bagi mengambil alih peranan kepemimpinan dan dapat mengurus organisasi pada masa depan.

“Ini bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sekali gus memberi kesan kepada masa depan ekonomi Sabah.

“KATC juga menyimpan keinginan untuk menjadi Design Organisation Approval dan mewujudkan lebih banyak fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Sabah, khususnya dalam bidang pembaikan komposit.

“Selain itu, kita mahu membekalkan juruteknik mahir bagi menyokong pembuatan alat ganti pesawat dan ekosistem MRO (Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih) di Sabah yang kemudian akan membantu ekonomi Sabah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, KATC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SMTRACK Berhad, Borneo Jet & Cargo Sdn Bhd dan Borneo Drone Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama berkaitan industri aeroangkasa di Sabah.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah di KATC, KKIP Telipok, dekat sini.

Aminuddin berkata, SMTRACK Berhad akan bekerjasama dalam bidang latihan, latihan dalam pekerjaan dan sangkutan pelajar, perantisan, penyediaan tenaga kerja mahir dan penempatan pekerjaan masa depan.

Katanya, penubuhan syarikat penerbangan baharu Borneo Jet & Cargo (dengan rakan kerjasama Helistar Resources Sdn Bhd) dan pengangkutan Borneo Drone di Sabah pula akan menyokong cita-cita KATC untuk menjadi Syarikat Teknologi Aeroangkasa pada 2026.

“Semangat Sabah untuk Sabahan akan menjadi tumpuan dalam pelan perniagaan jangka panjang KATC untuk melengkapkan rakyat Sabah bagi mengambil alih ‘baton’,” katanya.

Beliau menambah, KATC akan menggerakkan kepakaran mereka untuk menyediakan latihan teknikal dan konsultasi bagi membantu dan terlibat secara langsung dalam pelancaran operasi Borneo Jet dan Borneo Drone atau teksi udara di Sabah.

Sebagai pulangan, katanya KATC juga boleh memanfaat dan mendapatkan pengetahuan serta kemahiran dalam operasi syarikat penerbangan penumpang serta pengangkutan kargo dan logistik, sokongan pengendalian lapangan dan teknologi dron.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|