Covid-19 Sabah: Kes turun kepada tiga angka

Covid-19 Sabah: Kes turun kepada tiga angka

Kota Kinabalu: Sabah mencatat penurunan kes di bawah empat angka hari ini selepas hampir dua bulan merekodkan kes harian Covid-19 yang tinggi melebihi 1,000 kes.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pencapaian itu disokong penurunan kes harian di kebanyakan daerah dengan semua 27 daerah hari ini mencatat kes dua angka.

“Buat pertama kalinya sejak 4 Ogos tahun ini jumlah kes di Sabah turun di bawah paras angka 1,000, iaitu 962 kes. Ia membabitkan penurunan 311 kes berbanding 1,273 kes, semalam.

“Secara keseluruhan, terdapat penurunan jumlah kes yang agak besar di beberapa daerah walaupun ada penambahan kes di beberapa daerah lain.

“Hari ini juga tiada daerah yang mencatat jumlah kes tiga angka seperti sebelum ini dan ini satu petanda baik. Pada peringkat ini, bagaimanapun masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada trend penurunan ini akan berterusan,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Hari ini, katanya Kota Kinabalu mencatat penurunan 112 kes kepada hanya 91 kes baharu berbanding semalam, manakala Lahad Datu turun 45 kes, Kota Marudu (-33 kes), Keningau (-20 kes), Penampang (-18 kes), Beluran (-40 kes), Telupid (-24 kes) dan Tongod (-31 kes).

Bagi daerah yang mencatat peningkatan, Masidi berkata, antaranya ialah Tawau (+21 kes), Putatan (+17 kes), Kalabakan (+16 kes) dan Tuaran (+10 kes).

“Daripada 962 kes yang didaftar hari ini, sebanyak 361 kes atau 37.53 peratus adalah kes lewat daftar antara dua hingga tiga hari, manakala 47 kes atau 4.89 peratus lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan tujuh kes lewat didaftarmelebihi lima hari selepas keputusan saringan diketahui.

“Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 492 kes atau 51.1 peratus, diikuti saringan bergejala (368 kes atau 38.3 peratus), manakala enam kes daripada saringan kluster dan 96 kes dikesan melalui saringan lain,” katanya.

Masidi berkata, saringan bergejala psling tinggi dikesan di Lahad Datu dengan 61 peratus daripada jumlah kes, diikuti Kalabakan (84.6 peratus), Sandakan (44.4 peratus), Tawau (45.3 peratus dan Kota Kinabalu (37.3 peratus).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|