Sabah FC bermain tanpa Saddil

Sabah FC bermain tanpa Saddil

Kota Kinabalu: Sabah FC terpaksa melupakan sementara khidmat pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani untuk menghadapi baki perlawanan saingan Piala Malaysia 2021.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir, berkata Saddil terpaksa dikeluarkan daripada kesebelasan utama pasukan berikutan kecederaan pangkal paha yang serius.

Kecederaan Saddil katanya disahkan pakar bedah ortopedik Hospital KPJ Damansara, Dr Gan Eng Cheng selepas menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan baru-baru ini.

Jelas Marzuki, Saddil perlu mendapatkan rawatan susulan dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga bulan atas nasihat doktor jika ingin pulih sepenuhnya.

“Saddil mengalami kecederaan pangkal paha sejak lima perlawanan terakhir saingan Liga Super baru-baru ini.

“Pihak pengurusan amat mengharapkan agar Saddil dapat segera pulih 100 peratus untuk menghadapi saingan Liga Super 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Marzuki mengakui ketiadaan Saddil sedikit sebanyak menjejaskan perancangan Sabah FC dalam kempen Piala Malaysia kali ini.

Bagaimanapun, katanya apa yang penting Saddil dapat pulih 100 peratus bagi menghadapi kempen Liga Super musim depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|