Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbentuk dalam situasi amat luar biasa namun sehingga kini terus cemerlang memimpin Sabah.
Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) Tan Sri TC Goh berkata, GRS diberikan amanat dan tanggungjawab yang besar dalam menangani cabaran termasuk pandemik Covid-19 sama ada dalam setahun pentadbiran ataupun masa akan datang.
Namun katanya, rakyat dapat melihat kemajuan bukan saja membabitkan penurunan kadar jangkitan tetapi juga pembukaan semula banyak aktiviti ekonomi selain kehidupan rakyat kembali ke landasan baik.
“Bagi rakyat Sabah, kita mengharapkan kehidupan aman damai selain mempunyai sumber pendapatan yang kukuh untuk mengharungi cabaran pandemik ketika ini.
“Rakyat juga meletakkan harapan tinggi terhadap kestabilan politik dalam kalangan ahli-ahli politik untuk membimbing rakyat jelata memutuskan rantaian wabak ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Goh berkata, ia juga termasuk memulihkan sosial ekonomi selaras dengan perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan pelan pembangunan atau Hala Tuju “Sabah Maju Jaya”.
-Deasoka