Sabah catat hasil tertinggi sejak merdeka RM4.9 bilion tahun ini

Sabah catat hasil tertinggi sejak merdeka RM4.9 bilion tahun ini

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan anggaran hasil tertinggi RM4.912 bilion sejak merdeka berikutan pertambahan anggaran hasil sebanyak 9.6 peratus hasil kenaikan harga purata minyak sawit mentah dan petroleum pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata anggaran hasil Sabah pada 2021 dijangka bertambah RM430.67 juta atau 9.6 peratus menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 meningkat berbanding anggaran asal hasil yang dibentangkan dalam belanjawan 2021.

Katanya, peningkatan hasil itu adalah satu sejarah bagi Sabah kerana ia adalah hasil tertinggi pernah diperolehi negeri ini sejak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia 58 tahun yang lalu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur apabila harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan ketika penyediaan anggaran hasil 2021.

“Ekoran itu, sasaran kutipan hasil tahun ini dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 telah meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 3021.

“Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun berkenaan adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas.

“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas khususnya PETRONAS atas komitmen melaksanakan tanggungjawab pembayaran cukai ini,” katanya.

Walaupun mencatat kutipan hasil yang memberangsangkan pada tahun ini, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, krajaan negeri perlu berhemat dan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil 2022 agar kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh.

Katanya, ia kerana penentuan harga komoditi itu erdedah kepada risiko perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi dan pasaran global yang di luar kawalan.

“Disebabkan faktor-faktor tersebut, maka kerajaan negeri mengunjurkan Anggaran Hasil Tahun 2022 berjumlah RM4.707 bilion,” katanya.

Katanya, dalam Anggaran Hasil Tahun 2022, hasil cukai dijangka menyumbang 44.5 peratus iaitu RM2.094 bilion, diikuti hasil bukan cukai sebanyak RM2.138 bilion atau 45.4 peratus.

Katanya, Sabah juga dijangka menerima sebanyak RM475.02 juta atau 10.1 peratus melalui kategori terimaan bukan hasil pada tahun depan.

“Harga petroleum yang tinggi pada ketika ini akan menyumbang kepada peningkatan jangkaan royalti yang bakal diterima pada tahun depan, menjadikan royalti petroleum sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM1.2 bilion atau 25.5 peratus.

“Ini diikuti dengan CJN produk petroleum dengan sumbangan sebanyak RM1.1 bilion atau 23.4 peratus dan cukai jualan ninyak sawit nentah sebanyak RM810 juta atau 17.2 peratus,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|