Bonus penjawat awam Sabah setengah bulan gaji

Bonus penjawat awam Sabah setengah bulan gaji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengumumkan bantuan khas setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri di Sabah dalam Belanjawan 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan khas itu bagi mengiktiraf jasa dan peranan penjawat awam di negeri ini.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada seramai 20,271 orang penjawat awam negeri.

“Ini termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang akan dibayar pada Januari 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau turut berkata, kerajaan Negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam negeri ini.

“Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan sebelum itu turut berkata, pelbagai program telah dirancang untuk menambah baik sistem penyampaian sejajar dengan keperluan norma baharu.

“Penggunaan ruang digital perlu dimaksimakan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan tugas harian. Untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM56.44 juta bagi menaik taraf kemudahan digital untuk kegunaan penjawat awam.

“Manakala, sebanyak RM3.75 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri. Peruntukan ini akan dibelanjakan untuk meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Goverment) dan Program Pembangunan ICT.

“Sementara itu, dalam tempoh tahun 2022 hingga 2025, Kerajaan Negeri melalui Sabah Net akan terus menaik taraf talian internet ke semua pejabat kerajaan kepada rangkaian fiber optik berkelajuan 30Mbps hingga 100Mbps,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan peningkatan kualiti, ilmu pengetahuan dan perkembangan kerjaya, Hajiji berkata, kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.35 juta untuk menaja penjawat awam melanjutkan pelajaran di dalam bidang Sarjana dan Kedoktoran di universiti dalam dan luar negara yang terpilih.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|