Sabah akan laksana BISTARI tahun hadapan

Sabah akan laksana BISTARI tahun hadapan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan melaksanakan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) sebagai inisiatif baharu bagi bantuan khas pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat turut meliputi bantuan khas pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

“Satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu BISTARI dengan peruntukan sebanyak RM5 juta dilaksanakan tahun hadapan.

“Melalui BISTARI, setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.

“Inisiatif ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan dengan merintis galakan menabung untuk pendidikan sejak dari awal kelahiran,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian biasiswa bagi pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

“Ia selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan. Keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.

Sementara itu, bagi menyemarakkan pembudayaan ilmu dan pendidikan, Hajiji berkata, Perpustakaan Negeri Sabah turut diperuntukkan sebanyak RM40.57 juta termasuk untuk pembinaan tiga perpustakaan cawangan dan dua perpustakaan desa baharu.

“Usaha akan dilipat gandakan untuk memupuk budaya membaca melalui Program Gerakan Membaca dan menyediakan lebih banyak terbitan, koleksi bacaan dan bahan rujukan yang boleh diakses secara maya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|