Sabah bentang Belanjawan 2022 berjumlah RM4.596 bilion

Sabah bentang Belanjawan 2022 berjumlah RM4.596 bilion

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan belanjawan lebihan berjumlah RM4.596 bilion berbanding kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion pada tahun depan dengan nilai lebihan sebanyak RM110.68 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2022 itu, berkata peruntukan itu selari dengan tuntutan dan keutamaan semasa serta tema belanjawan tahun depan iaitu ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’.

Katanya, tema itu dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri bagi memulihkan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Bagi merealisasikan matlamat tema belanjawan ini, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan Belanjawan Tahun 2022 berjumlah RM4.596 bilion dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion.

“Ini bermakna Belanjawan 2022 Negeri Sabah adalah Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) berjumlah RM110.68 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang ini.

Belanjawan berkenaan adalah yang kedua dibentangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Belanjawan Sabah 2021 yang dibentangkan pada 18 Disember tahun lalu.

Jumlah perbelanjaan tahun depan menunjukkan peningkatan bberbanding RM4.303 bilion yang diperuntukkan kerajaan negeri dalam belanjawan tahun ini dengan lebihan RM178.7 juta bberbanding unjuran hasil sebanyak RM4.481 bilion.

Hajiji berkata, daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan tahun depan, Kementerian Kewangan menerima peruntukan tertinggi dengan anggaran
perbekalan sebanyak RM1.824 bilion, manakala anggaran pembangunan sebanyak RM4 juta.

“Ia diikuti Kementerian Kerja Raya dengan anggaran perbekalan RM770.10 juta dan anggaran pembangunan RM244.97 juta; manakala Jabatan Ketua Menteri menerima anggaran perbekalan RM514.94 juta dan anggaran pembangunan RM161.59 juta.

“Seterusnya yang keempat : Kementerian Pertanian dan Perikanan menerima anggaran perbekalan RM319.01 juta dan anggaran pembangunan sebanyak RM111.87 juta,” katanya.

Seterusnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerima anggaran perbekalan RM206.01 juta dan
anggaran pembangunan RM10.60 juta; manakala Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerima anggaran perbekalan RM113.35 juta dan anggaran pembangunan RM18.58 juta.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menerima anggaran perbekalan sebanyak RM122.40 juta dan anggaran pembangunan RM11.72 juta, diikuti Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dengan anggaran perbekalan RM87.66 juta dan anggaran pembangunan RM123.0 juta.

Seterusnya, Kementerian Belia dan Sukan Sabah menerima anggaran perbekalan RM80.59 juta dan anggaran pembangunan RM15.30 juta, diikuti Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dengan anggaran perbekalan sebanyak RM121.22 juta dan anggaran pembangunan RM13.89 juta.

Kementerian Pembangunan Perindustrian pula menerima anggaran perbekalan sebanyak RM19.91 juta dan anggaran pembangunan sebanyak RM26.05 juta.

Hajiji berkata Perbelanjaan Yang Diuntukkan pula menerima anggaran perbekalan sebanyak RM383.04 juta, manakala Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian – Kementerian menerima anggaran perbekalan RM33.73 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|