Belanjawan 2022 Sabah fokus pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat

Belanjawan 2022 Sabah fokus pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat

Kota Kinabalu: Belanjawan 2022 Sabah memberi fokus kepada teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tanggungjawab itu diamanahkan kepada beberapa kementerian dan agensi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tiba di perkarangan DUN untuk membentangkan Belanjawan 2022 Sabah.

“Antaranya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) telah diperuntukkan sebanyak RM127.06 juta untuk Program Pembudayaan dan Pengadatasian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) diperuntukkan sebanyak RM23.87 juta untuk tujuan pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan.

“Ini termasuk Program Pembangunan Sabah Talent and Entreprenuership (STEP) bagi membantu belia dan beliawanis yang telah kehilangan punca pendapatan. Selain itu, beberapa projek akan dilaksanakan untuk meningkatkan prasarana pusat latihan sedia ada dan kajian kemungkinan pembinaan lima kampus satelit JPSM,” katanya ketika membentang Belanjawan 2022 Sabah, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan teks ucapan Belanjawan 2022 Sabah di DUN Sabah, hari ini.

Tambah beliau lagi, Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) juga akan menganjurkan pelbagai latihan berkonsepkan keusahawanan berteraskan inovasi bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak industri semasa.

“Seiring Revolusi Industri 4.0, Kerajaan Negeri meletakkan keutamaan untuk memastikan agar perkembangannya dapat diadaptasi dalam pelbagai sektor ekonomi negeri.

“Oleh itu, peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 35 Belanjawan 2022 Sabah Maju Jaya Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre (SSTC),” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kerajaan akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak RM61.8 juta diperuntukkan bagi latihan, kursus dan pembangunan ICT dan ini termasuk peruntukan di bawah KSTI sebanyak RM35.16 juta serta Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKN) berjumlah RM22.94 juta.

“JPKN akan terus komited dalam meningkatkan ciri-ciri keselamatan sistem aplikasi kerajaan dan memudahkan akses maklumat kepada rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|