RM164.12 juta diperuntukan untuk laksana program keagamaan di Sabah

RM164.12 juta diperuntukan untuk laksana program keagamaan di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan terus melaksanakan program-program keagamaan melalui penyaluran peruntukan perbekalan dan pembangunan sebanyak RM164.12 juta kepada agensi-agensi Kerajaan berkaitan, badan-badan keagamaan dan pendidikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia dan peruntukan ini meliputi semua agama dan kaum di negeri ini.

Katanya, kesejahteraan rakyat akan terbina melalui keharmonian hidup bermasyarakat yang dilindungi kerukunan adat resam.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menambah baik pengurusan sistem perundangan anak negeri. Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk meneruskan sambungan secara berfasa pembinaan Projek Mahkamah Anak Negeri Sook, Paitan dan Pagalungan.

“Selain itu, geran khas akademik telah diluluskan kepada UiTM Cawangan Sabah bagi menjalankan kajian pembangunan
aplikasi e-NATIVE LAW Kit. Aplikasi ini yang akan dibangunkan oleh pensyarah Undang-undang UiTM ini boleh menjadi sumber rujukan komprehensif bagi kakitangan Mahkamah Anak Negeri di semua peringkat dan boleh diakses oleh orang awam.

“Selain membolehkan semua pihak lebih memahami undang-undang anak negeri dan meningkatkan kecekapan pengurusan, inisiatif ini adalah antara langkah untuk memartabatkan Sistem Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, bercakap mengenai peruntukan untuk Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Hajiji berkata, sebanyak RM134.12 juta diperuntukan kerajaan Sabah bagi 2022.

“Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM134.12 juta kepada KPMKR untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyantuni golongan yang memerlukan.

“Institusi keluarga adalah tonggak kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Sehubungan itu, kerajaan akan terus menekankan agenda untuk membangun dan memantapkan institusi keluarga menerusi pelaksanaan Program Kekeluargaan dan Program Kepenggunaan dengan peruntukan sebanyak RM1.08 juta,” katanya.

Selain itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am
memperuntukkan sebanyak RM105.11 juta di bawah perbelanjaan perbekalan dan pembangunan pada tahun 2022.

“Peruntukan ini termasuk RM60 juta bagi pemberian bantuan kebajikan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas
dan ibu tunggal.

“Di samping itu, usaha akan diteruskan untuk meningkatkan kemudahan kepada OKU seperti pembinaan bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sandakan dan bangunan TDKKU Mini di Daerah Kecil Sook dengan siling peruntukan di bawah RMKe-12 sebanyak RM58.19 juta.

“Pada masa yang sama, Yayasan Kebajikan Sabah telah mula beroperasi untuk membantu meningkatkan sistem penyampaian agenda kebajikan yang dihasratkan oleh kerajaan melalui kerjasama dan sumbangan sektor korporat, NGO dan orang persendirian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|