RM17.61 juta untuk pembangunan wanita tahun depan

RM17.61 juta untuk pembangunan wanita tahun depan

Kota Kinabalu: Pembangunan wanita di Sabah turut mendapat perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2022 Sabah hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengakui bahawa wanita adalah tunjang keluarga dan masyarakat serta peranan mereka dalam pembangunan negeri adalah amat signifikan.

“Bagi menghargai sumbangan besar kaum wanita, kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita.

“Peruntukan ini meliputi RM11.8 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) untuk pengurusan operasi dan penyediaan kemudahan pinjaman mikro kepada golongan wanita,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hajiji turut berkata, sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) bagi pelaksanaan program-program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita.

“Program Outreach Santuni Wanita Merakyatkan Perkhidmatan ke Arah Kesejahteraan Wanita akan diteruskan untuk membantu wanita yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan wanita, satu inisiatif baharu diperkenalkan khusus untuk Isteri kepada Ketua Isi Rumah atau Ketua Isi Rumah Wanita yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri atau ringkasnya BAIDURI ini merupakan bantuan Kerajaan Negeri dalam bentuk dana awal caruman KWSP secara one-off berjumlah RM60.00 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan.

“Bantuan ini akan disusuli dengan pemberian insentif khas tambahan sebanyak RM480 seorang daripada kerajaan Persekutuan melalui KWSP kepada wanita dalam kategori terlibat.

“Pelaksanaan BAIDURI akan memanfaatkan seramai 45,134 wanita melibatkan peruntukan RM2.7 juta pada tahun hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|