Keningau: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari jambatan di Jalan Sungai Pegalan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 22 tahun terbabit disedari duduk di tepi jambatan berkenaan dan dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.20 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mangsa ditemui duduk di tepi jambatan berkenaan dipercayai cuba untuk terjun.
“Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang dan menyelamatkan mangsa daripada terjun ke sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus dipujuk dan berjaya dibawa ke lokasi selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, hasil soal siasat awal, mangsa mengaku kecewa dengan hidupnya yang berdepan masalah kewangan.
“lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.42 petang,” katanya.
-Deasoka