Sabah beralih ke Fasa 3 PPN mulai Isnin

Sabah beralih ke Fasa 3 PPN mulai Isnin

Kota Kinabalu: Sabah akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin depan, 18 Oktober.

Peralihan daripada Fasa 2 PPN itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Sabah, bersama Perak, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah beralih ke Fasa 3, manakala Melaka dan Lembah Klang yang merangkumi Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa 3 ke Fasa 4.

Peralihan fasa negeri terbabit katanya diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada hari ini dengan mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan semakin baik.

“Berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negara mencatat bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan mencatatkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, peralihan fasa itu adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Dengan peralihan fasa bagi negeri yang dinyatakan itu, katanya Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3 PPN.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan Fasa 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|