Pelbagai pendekatan bantu pulihkan pelancongan Sabah – Jafry Ariffin

Pelbagai pendekatan bantu pulihkan pelancongan Sabah – Jafry Ariffin

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) negeri akan membantu pengusaha industri pelancongan memulihkan keyakinan pelancong untuk kembali berkunjung ke Sabah sejajar kebenaran rentas daerah dan negeri yang diberikan kerajaan.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata kementeriannya giat melaksanakan pelbagai pendekatan baharu termasuk melaksanakan kempen promosi yang lebih agresif dan strategik dalam usaha memulihkan semula industri pelancongan negeri.

Beliau berkata, ia termasuk sesi libat urus secara maya mengenai pameran pelancongan Sabah yang turut membabitjan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) dan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA).

“Kementerian turut bekerjasama dengan agensi perdagangan luar negara dalam kempen media sosial untuk mempromosikan produk pelancongan Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sektor pelancongan Sabah dijangka kembali aktif berikutan keputusan kerajaan negeri membenarkan aktiviti rentas daerah di seluruh negeri bermula semalam dan rentas negeri bermula 1 November depan.

Dalam pada itu, Jafry berkata bagi menjamin kelangsungan hidup pekerja dalam rantaian sektor pelancongan, kerajaan negeri sebelum ini memberi bantuan khas termasuk kepada pengusaha penginapan.

Antaranya, beliau berkata bantuan secara sekali bayar sebanyak RM2,000 kepada pengusaha pelancongan dan RM300 kepada pemandu pelancong, penggiat seni, divemaster, malim gunung dan porter.

“Untuk pengusaha hotel dan penginapan, masing-masing menerima RM5,000 bagi hotel bertaraf lima dan empat bintang, manakala hotel bertaraf tiga, dua dan satu bintang menerima RM2,000.

“Turut menerima manfaat ialah hotel yang belum mendapat pengiktirafan, persatuan homestay dan persatuan pelancongan luar bandar yang masing-masing menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM1,000,” katanya.

Selain itu, katanya kementerian juga menawarkan insentif untuk menggalakkan aktiviti pelancongan domestik dan penganjuran aktiviti perniagaan termasuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

Dalam pada itu, Jafry berkata berdasarkan kajian yang dijalankan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) ke atas pengusaha industri pelancongan baru-baru ini, 48 peratus pengusaha didapati menutup sementara operasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebanyak 45.5 peratus pengusaha pelancongan pula masih menjalankan operasi sepenuhnya sehingga kini.

“Kementerian akan sentiasa mendengar keluhan dan cabaran yang dihadapi pemain industri di semua peringkat seterusnya bersama-sama untuk mengatasinya secara komprehensif.

“Justeru, KEPKAS akan terus membuat pendekatan yang baharu dan relevan dengan perkembangan semasa dalam usaha memulihkan sektor pelancongan, seterusnya kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|