Lelaki dijatuhi hukuman mati selepas bersalah membunuh ipar

Lelaki dijatuhi hukuman mati selepas bersalah membunuh ipar

Tawau: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh iparnya empat tahun lalu, di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Alwi Abdul Wahab terhadap tertuduh Aldin Tawasil, 26, selepas pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah sepanjang prosiding berjalan.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Ronston Tunai di Kampung Sabah Baru Jalan Tengah Nipah Lahad Datu pada 16 Jun 2017 pada jam 3 petang.

Alwi berkata, berdasarkan hujahan tertuduh, dirinya mendakwa mangsa menyerangnya terlebih dahulu dengan pisau selepas perbuatannya merogol adik mangsa terbongkar.

Susulan kejadian itu tertuduh berjaya merampas pisau mangsa dan membuat serangan balas menyebabkan terdapat 13 tusukan benda tajam pada si mati dengan lima tusukan di leher, tujuh tusukan di dada dan satu tusukan di lengan menyebabkan mangsa maut ketika mendapatkan rawatan di hospital Lahad Datu.

Alwi seterusnya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan perbuatan tertuduh membunuh dengan niat.

Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran.

Manakala tertuduh diwakili peguam lantikan mahkamah Liew Hon Min.

Pihak pendakwaan menampilkan 14 saksi manakala tertuduh menjadi saksi tunggal bagi pihak pembelaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|