Sabah benarkan aktiviti keagamaan, kunjungan tetamu sempena Krismas

Sabah benarkan aktiviti keagamaan, kunjungan tetamu sempena Krismas

Kota Kinabalu: Penganut Kristian di Sabah dibenar menunaikan aktiviti keagamaan di gereja dan menerima kehadiran tetamu di rumah dengan kehadiran 50 peratus kapasiti ruang sempena sambutan Krismas pada 25 Disember ini.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, kehadiran penganut dan tetamu bagaimanapun hanya untuk yang sudah lengkap vaksin.

Dalam kenyataannya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata SOP khas sambutan Krismas itu ditetapkan sejajar dengan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah.

Beliau berkata, aktiviti keagamaan di gereja turut dihadkan kepada tempoh maksimum selama dua jam, manakala kunjungan tetamu di rumah dihadkan selama tiga jam.

“Aktiviti membabitkan sentuhan termasuk bersalaman dan berpelukan juga tidak dibenarkan, manakala kehadiran kanak-kanak di bawah 12 tahun perlu ditemani ibu bapa yang sudah lengkap vaksin.

“Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka perlu dilaksanakan sepanjang aktiviti keagamaan di rumah ibadat dan kehadiran tetamu di rumah atau kediaman penganut.

“Pemeriksaan suhu juga perlu dilakukan sebelum masuk ke rumah ibadat atau kediaman dan jika ada penganut atau pengunjung dikesan mencatat suhu melebihi 37.5 darjah selsius, ahli jawatankuasa rumah ibadat atau tuan rumah perlu memastikan mereka tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pengagihan makanan berbungkus di rumah ibadat dibenarkan, manakala bazaar sempena Krismas juga dibenarkan namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata, SOP itu ditetapkan untuk sambutan Krismas pada 25 Disember dan aktiviti menjelang Krismas pada 24 Disember.

Beliau berkata, SOP yang sama turut ditetapkan bagi aktiviti keagamaan bukan Islam dan kunjungan tetamu sempena sambutan akhir tahun dan tahun baharu pada 31 Disember dan 1 Januari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|