Rakyat Sarawak mengundi pilih kerajaan baharu hari ini

Rakyat Sarawak mengundi pilih kerajaan baharu hari ini

Kota Kinabalu: Rakyat Sarawak akan menentukan kerajaan baharu yang bakal mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang berlangsung hari ini.

Berdasarkan daftar pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,213,769 pengundi layak membuang undi pada PRN Sarawak Ke-12 itu.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak, berkata bagi tujuan pilihan raya itu, sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran dibuka sepanjang proses pengundian.

Katanya, bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, seramai 46,565 petugas turut ditugaskan di semua pusat pengundian yang dibuka bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

PRN Sarawak Ke-12 diadakan berikutan penamatan darurat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong pada awal November lalu.

Darurat dikuatkuasakan sejak 2 Ogos lalu di Sarawak susulan penamatan darurat di seluruh negara bagi menangguhkan PRN berikutan situasi Covid-19 yang membimbangkan.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum ini berakhir pada 6 Jun lalu, namun PRN tidak dapat dilaksanakan pada ketika itu berikutan penguatkuasaan darurat di seluruh negara.

Bagi PRN kali ini, seramai 349 calon bertanding merebut 82 kerusi DUN, dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding di semua kerusi, diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) di 73 kerusi dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi.

Selebihnya, seramai 30 calon bebas, PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), AMANAH (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima) dan PAS (satu).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|