Sabah antara yang terawal menerima vaksin CanSino

Sabah antara yang terawal menerima vaksin CanSino

Kota Kinabalu: Sabah diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima tiga juta bekalan yang dijadualkan tiba bulan hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu diberi jaminan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, Khairy memberitahu kerajaan pusat akan membuat penghantaran pertama ke negeri ini selain memberi pilihan kepada Sabah berkenaan vaksin satu dos Johnson & Johnson.

Pertemuan maya melibatkan Ketua Menteri dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di PPNS, Kota Kinabalu, hari ini.

“Khairy memberi jaminan itu semasa pertemuan secara maya, hari ini. Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap permintaan Sabah untuk mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin bagi mencapai sasaran vaksinasi sebanyak 60 peratus menjelang bulan Oktober.

“Ia sekaligus mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini. Ia juga amat penting supaya kita dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang sukar dan jauh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan maya itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah sudah membuka sebanyak 177 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri sehingga kini dengan kemudahan jangkauan luar (mobile outreach).

Katanya, ia turut dibantu dengan program Vaksinasi Medic Tentera Darat yang kini berada landasan tepat bagi memastikan lebih ramai yang akan menerima vaksin.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas semua kerjasama yang diberikan kepada Sabah dalam program vaksinasi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, berkata, PPV Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Katanya, PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|