Kota Kinabalu: Rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dibuka semula bermula jam 6 pagi hingga 8 malam dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) mulai esok.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata kehadiran penganut hanya 30 peratus daripada kapasiti ruang ibadat.
Beliau berkata, semua ahli jawatankuasa atau petugas rumah ibadat dan penganut yang hadir juga mesti sudah lengkap vaksin, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak digalakkan hadir.
“Pengurusan rumah ibadat juga diminta menyediakan kaunter untuk pemeriksaan suhu badan dan merekod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau Sabah Trace.
“Pemakaian pelitup muka diwajibkan sepanjang masa, mesti ada penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan dinasihatkan kerap mencuci tangan atau menggunakan ‘hand sanitizer’.
“Penganut juga tidak dibenarkan berkumpul di luar rumah ibadat, bersalaman atau bersentuhan, selain tidak dibenarkan berkongsi peralatan sembahyang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kebenaran itu berdasarkan kemaskini SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua bagi negeri Sabah bertarikh 19 September.
Masidi berkata, individu yang mencatat suhu badan 37.5 darjah Celsius dan ke atas tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat, manakala kelas keagamaan dan kebudayaan di dalam atau luar rumah ibadat juga tidak dibenarkan.
Selain itu, katanya upacara pemberkatan perkahwinan di rumah ibadat bukan Islam turut dibenar diadakan bermula esok, namun terhad selama dua jam dengan pematuhan SOP sama bagi kehadiran penganut ke rumah ibadat.
Beliau berkata, hanya pengagihan makanan berbungkus dibenarkan, namun tidak dibenar makan di dalam atau luar rumah ibadat.
Sementara itu, Sabah hari ini mencatat penurunan 39 kes positif Covid-19 kepada 1,356 kes, dengan 35 lagi kematian dilaporkan di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes dilaporkan di Sandakan, diikuti sembilan kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Keningau, masing-masing dua kes di Putatan dan Lahad Datu, manakala Kunak, Ranau, Tawau, Penampang dan Nabawan masing-masing mencatat satu kes.
-Deasoka