Lokasi tumpuan pelancong di bawah Taman-Taman Sabah sudah boleh dikunjungi – Jafry Arifin

Lokasi tumpuan pelancong di bawah Taman-Taman Sabah sudah boleh dikunjungi – Jafry Arifin

Kota Kinabalu: Lokasi tumpuan pelancong di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah termasuk Taman Kinabalu di Kundasang, sudah dibuka semula untuk kunjungan orang ramai bermula Khamis lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata hanya Taman Pulau Penyu di Sandakan belum dibuka, namun dijadual boleh dikunjungi semula mulai esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna dan Sub Stesen Kimanis, Taman Banjaran Crocker juga belum dibuka.

“Taman-Taman Sabah akan memaklumkan kemudian tarikh pembukaan lokasi ini. Lokasi lain termasuk Gunung Kinabalu sudah dibuka kepada pengunjung dan pendaki,” katanya.

Pembukaan semula lokasi terbabit termasuk pendakian di Gunung Kinabalu selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) melalui semakan terbaharu SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah yang diumumkan baru-baru ini.

Jafry bagaimanapun berkata, aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu itu atau kehadiran pengunjung di semua taman kendalian Taman-Taman Sabah terhad kepada individu yang sudah lengkap vaksin Covid-19 dan berasal dari daerah yang sama sahaja.

Katanya, hanya individu berumur lebih 12 tahun dan tidak lebih 70 tahun dibenarkan untuk mendaki di Gunung Kinabalu atau memasuki semua kawasan taman di seluruh negeri.

“Hanya pelawat atau pendaki yang lengkap divaksinasi, tinggal di daerah yang sama dan berumur di atas 12 tahun serta di bawah 70 tahun dibenarkan masuk ke semua kawasan taman.

“Had pelawat pula adalah seramai 100 orang sehari bagi setiap destinasi.

“Semua aktiviti dalam taman adalah tertakluk kepada SOP pengoperasian Taman-Taman Sabah PPN fasa kedua berdasarkan kemas kini pada 11 September lalu,” katanya.

Aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dan semua taman di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

Selain Taman Kinabalu di Kundasang, lokasi tumpuan lain di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah ialah Taman Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu, Taman Pulau Tiga di Kuala Penyu, Taman Banjaran Crocker di Keningau, Taman Marin Tun Mustapha di Kudat, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan di Semporna, Taman Pulau Penyu di Sandakan dan Taman Bukit Tawau di Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|